Wednesday, August 13, 2008

Kelantan jadi negeri jelapang makanan negara 2010

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi mengadakan lawatan kerja ke setiap agensi di bawah portfolionya dalam usaha memperkasakan bidang pertanian di Kelantan.
Setakat ini kita telah mengadakan sesi pertemuan dengan pegawai di Jabatan Pertanian. Selepas ini kunjungan sama akan diadakan ke Jabatan Parit dan Saliran, Pejabat Perkhidmatan Haiwan dan lain-lain agensi, katanya di sini.

Menurutnya pertemuan itu diatur bagi membincang usaha mempertingkatkan hasil pengeluaran pertanian, perikanan dan penternakan di Kelantan.

"Kerana itu kita telah mengadakan sesi lawatan dan pertemuan di jabatan terbabit dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran pertanian," ujarnya.

Kata beliau usaha itu dilakukan bagi memastikan hasrat kerajaan negeri muncul sebagai negeri jalapang makanan negara menjelang 2010 menjadi kenyataan.

Beliau juga berkata, pertemuan dengan Jabatan Pertanian baru-baru ini turut menekankan soal pembangunan pertanian di tanah-tanah terbiar khususnya di kawasan tanaman padi.

Katanya, perkara itu perlu ditekankan bagi mengatasi masalah kekurangan beras di negara ini sekarang.

"Sekurang-kurangnya dengan menerokai semula tanah sawah terbiar, masalah kekurangan padi atau beras di negara kita akan dapat diatasi sepenuhnya," kata beliau.

0 comments: