Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kali ke 49 telah diadakan pada 10 Jamadil Awwal 1429 bersamaan 14 Jun 2008 di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu dan telah dirasmikan oleh Ybrs Azman Shapawi, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Muktamar ini telah dihadiri oleh 139 perwakilan daripada seluruh Dewan Pemuda Pas Kawasan-kawasan dan pemerhati dari seluruh negeri Kelantan. Turut menghadiri muktamar ini adalah Ustaz Abdullah Abdul Razak setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan dan Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapa selaku wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.
Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Rantau Panjang telah memenangi anugerah Pengurusan PASTI terbaik manakala anugerah Pengurusan Unit Kerja Jamaah Terbaik dimenangi oleh DPPK Ketereh. DPPK Gua Musang pula telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Pengurusan Aktiviti dan Gerak Kerja Pilihanraya terbaik.
Sebanyak 5 usul telah dikemukakan di dalam Muktamar ini yang mana 1 usul telah diterima tanpa bahas dan 4 usul telah diterima setelah dibahaskan oleh pihak perwakilan. Usul yang diterima tanpa bahas adalah usul daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Jeli mengenai perkaderan ahli-ahli PAS yang perlu dipertingkatkan.
Usul pertama yang dibahaskan adalah usul bersama daripada DPPK Kubang Kerian, Bachok dan Kota Bharu mengenai perlantikan pegawai pencegah maksiat di kawasan-kawasan tumpuan umum/perlancongan dan pengaktifan skuad amru/hisbah bagi menangani masalah gejala sosial yang kian meruncing. Ustaz Bukhari, Ketua Penerangan DPPK Kubang Kerian yang membentangkan usul ini menyatakan bahawa perkara ini adalah berikutan kegagalan imam-imam yang dilantik dan ketidak mampuan pejabat agama di setiap jajahan menangani masalah ini. Usul ini telah diterima sebulat suara oleh semua perwakilan.
Usul kedua adalah daripada DPPK Pasir Mas yang mendesak supaya kerajaan negeri Kelantan mempercepatkan penubuhan sebuah Universiti atau Kolej Universiti bagi menyelesaikan masalah yang timbul selepas kerajaan Mesir menamatkan MOU dengan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang telah menyebabkan pelajar-pelajar KIAS yang sepatutnya menyambung pengajian Sarjana Muda ke Universiti Al-Azhar, Mesir tidak dapat berbuat demikian. Menurut Ketua Penerangan DPPK Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli yang membentangkan usul ini kolej-kolej lain yang turut ditamatkan MOU seperti Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS) tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh KIAS kerana KUIS mempunyai pengajian Sarjana Mudanya sendiri dan para pelajar yang tidak dapat menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar boleh menamatkan pengajian mereka di KUIS. KIAS sebagai sebuah kolej hanya menawarkan pengajian diperingkat diploma sahaja dan usaha untuk meningkatkan taraf KIAS kepada sebuah Kolej Universiti terhalang disebabkan oleh faktor ketiadaan kemudahan penginapan dan pusat pengajian selain daripada peruntukan kerajaan negeri yang amat sedikit. Usul ini telah diterima sebulat semua oleh semua perwakilan.
Usul ketiga dan keempat adalah daripada jawatankuasa kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang mendesak kerajaan negeri supaya menyegerakan perundingan dengan pihak berkenaan untuk mendaratkan hasil petroleum di perairan Kelantan dan mencadangkan pihak kepimpinan PAS membuka peluang kepada orang bukan Islam memainkan peranan yang lebih luas di dalam parti. Kedua-dua usul ini telah diterima oleh perwakilan.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kali ke 49 ini telah berakhir sekitar pukul 5 petang.
0 comments:
Post a Comment