Petikan: Sinar Harian
Pilihan raya ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac lalu telah membawa kepada perubahan politik negara. Kemenangan parti pembangkang di lima buah negeri membuktikan rakyat semakin berani membuat keputusan dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara.
Setelah lebih 100 hari memerintah lima negeri, parti politik yang bergabung di bawah satu ikatan kerjasama yang dinamakan Pakatan Rakyat telah mula mendapat kepercayaan rakyat dan mula mengorak langkah dengan membawa perubahan kepada sistem pentadbiran di negeri-negeri yang diterajui.
Wartawan SINAR HARIAN mengupas sambutan 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai idea yang cuba diterapkan. Ikuti temu bual bersama Pengarah Program Wacana Perdana: 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat yang Ahli Dewan Undangan negeri Pasir Tumbuh, Baihaki Atiqullah. Program ini akan diadakan esok di Dewan Utama Balai Islam Lundang.
SH: Boleh YB terangkan apakah sebenarnya program Wacana Perdana: 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat yang akan diadakan?
BAIHAKI: Sebenarnya program ini dibuat sempena sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di lima buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Penang, Selangor dan Perak. Senario ini merupakan satu perkara baru. Dulu kita hanya ada Kelantan sahaja tetapi kini kita sudah memiliki lebih dari satu negeri. Situasi ini tentunya suasana yang baru untuk rakyat Malaysia. Selain itu ia juga merupakan perkembangan politik yang baru bagi rakyat Malaysia.
SH: Mengapa program sebegini dipilih? Ia agak berbeza daripada biasa. Selalunya program berbentuk ceramah dibuat tetapi kali ini seolah-olah ingin tampilkan satu kelainan. Apa pendapat YB?
BAIHAKI: Sebenarnya program ini adalah sebagai salah satu cara kita menghayati kemenangan yang telah kita capai. Sebagai Ketua Penerangan Pas Kelantan yang juga Pengarah Projek, saya cuba anjurkan program ini untuk mencetuskan satu suasana yang lain daripada biasa.
SH: Bagaimana pula dengan pemilihan panel untuk program ini?
Biasanya kita buat ceramah tetapi kali ini kita buat wacana secara terbuka. Dengan menampilkan program sebegini kita dapat bertukar pendapat. Ini kerana tidak semua orang mempunyai idea yang sama dengan kita. Panel yang dipilih bukan sahaja pemimpin Pas tetapi kita menjemput panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Prof Aziz Bari dan pemimpin Parti keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution. Mereka ini tidak menyokong mana-mana parti kecuali YB Saifuddin.
SH: Mengapa mereka ini dipilih?
BAIHAKI: Mereka ini dipilih bertujuan untuk kita dedahkan kepada rakyat mengenai pandangan mereka. Kita perlu juga mendengar pandangan daripada orang lain. Kita juga bertujuan untuk tidak menyekat apa yang diperkatakan oleh ahli panel. Tidak seperti yang ada sebelum ini. Kalau nak kritik apa yang kita buat di Kelantan pun kita terima. Kita juga memberi peluang kepada audiens apa yang dikatakan oleh ahli panel. Kita yakin rakyat semakin bijak. Kalau kita sekat pun tak berguna. Kalau kita beri kebebasan seperti itu rasanya lebih baik. Cuma apa yang penting kita perlu kawal keadaan.
SH: Mengapa tidak dipilih pemimpin Pas sebagai panel untuk program ini?
BAIHAKI: Sebenarnya jika dipilih pemimpin Pas idea akan jadi stereo tiap. Pemimpin Pas akan cakap benda yang sama. Walaupun boleh jadi apa yang diberitahu oleh panel yang dipilih itu tidak sesuai dengan kita dan mungkin jika mereka beri pandangan mengenai Kelantan tidak benar tetapi kita nak dengar. Mungkin ada yang boleh diambil.
SH: Apa harapan YB terhadap program ini?
BAIHAKI: Saya berharap orang ramai dapat menilai apa yang akan dikemukakan nanti sama ada baik atau tidak baik mengenai negeri kita. Kita pun nak dengar apa yang orang luar cakap pada kita. Boleh jadi apa yang orang luar cakap itu lebih baik dan kita boleh bangunkan lagi negeri kita. Sekiranya cadangan yang diberikan itu positif, boleh kita ubah. Kalau ada yang tak betul dan kalau ada yang tak baik kita boleh perbaiki lagi. Itulah antara yang lebih baik.
SH: Kenapa program tersebut dibuat di negeri Kelantan?
BAIHAKI: Idea dicetuskan oleh Kelantan. Kita buat dahulu untuk permulaan. Biar Kelantan dulu yang sudah lama memerintah. Kalau kerajaan lain nak buat boleh jadi dia akan buat. Boleh jadi ada juga lepas ini ada negeri lain pul ayang akan buat. Selain itu akan diadakan juga persidangan ketua-ketua kerajaan bagi lima buah negeri. Cuma tarikh belum pasti. Kita buat ini untuk rakyat di negeri ini.
SH: Adakah soal jawab itu dibuat secara telus?
BAIHAKI: Kita akan cuba setelus mungkin. Bahkan saya sendiri tidak akan tentu apa yang ahli panel nak cakap dan jawab. Kita tidak akan sediakan soalan dan beri tahu ahli panel.
SH: Bagaimana pemilihan panel dibuat?
BAIHAKI: Kalau mengikut pemilihan asal kami memilih Datuk Husam Musa, Raja Petra dan Dr Mohd Asri Zainul Abdini. Tetapi Datuk Husam dan Raja Petra ada hal yang perlu selesaikan. Sebab itulah kami memilih panel lain. Pemilihan ini dibuat melalui perbincangan. Mufti Perlis dipilih kerana beliau merupakan seorang yang berani mengeluarkan kenyataan yang menegur setiap kesilapan. Kontroversi. Walaupun orang kata kalau beliau datang Kelantan akan timbulkan lebih banyak lagi masalah. Tetapi kita nak dengar sendiri daripada beliau. Biasanya orang kita tidak boleh terima kritikan orang lain. Sepatutnya kita terima kritikan orang lain.
SH: Adakah YB rasa program ini berkesan kepada rakyat?
BAIHAKI: Saya rasa ia boleh membuka dimensi baru untuk masyarakat. Sebenarnya daripada UMNO pun kita nak panggil tetapi bimbang mereka tidak datang.
SH: YB rasa perlu ke sambutan 100 hari sebab kalau diikutkan pemerintah di lima buah negeri itu masih belum sempat melakukan perubahan pada negeri yang ditadbir?
BAIHAKI: Sambutan 100 hari ini sebenarnya sempena sahaja. Masyarakat kita dia suka pada sempena. Jumlah 100 hari bukan bermakna kerajaan Pakatan Rakyat telah membuat sesuatu yang besar. Memang masih tidak sempat dalam masa 100 hari. Tetapi ia bermaksud perkembangan yang berlaku dalam masa 100 hari ini sudah boleh dirasai oleh rakyat. Kelainannya ia tidak diperintah oleh sebuah kerajaan sahaja. Malaysia sudah ada saingan besar pada UMNO dan. Kesedaran terhadap Pakatan Rakyat sudah ada.
Friday, June 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment