Thursday, July 3, 2008

Isteri pula dijemput Ilahi

PASIR PUTEH - “Saya minta orang ramai mendoakan agar Balqis selamat.”

Hanya itulah kata-kata yang mampu diluahkan ibu mangsa kemalangan ngeri membabitkan dua kereta di Kilometer 24 Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Mariam Jusoh, 56, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Gaal, di sini semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan kemalangan tersebut yang membabitkan dua kereta berhampiran Kampung Jerus petang kelmarin, meragut tiga nyawa sekeluarga.

Pemandu kereta Kancil, Mohd Rudi Latif, 33, dan dua anaknya, Nik Mohd Imran, 3, Nik Mohd Anas Haikal, 8, meninggal dunia di tempat kejadian.

Nahas tersebut turut menyebabkan anak berusia empat bulan dalam kandungan isteri Mohd Rudi, Raja Rusini Raja Hussin, 26, meninggal dunia sementara Raja Rusini dilaporkan kritikal.

Raja Rusini bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira jam 1.10 pagi semalam.

Satu-satunya anak pasangan terbabit yang terselamat dalam kejadian itu ialah Nik Nurul Analia Balqis, 5, yang berada di HUSM dan keluarga mangsa meminta orang ramai mendoakan dia selamat.

Menurut Mariah, arwah Raja Rusini sebelum ini ada meninggalkan pesan kepada adiknya, Raja Fairuz, 23, agar menjaga anak-anaknya dengan baik sekiranya berlaku apa-apa terhadapnya.

Bapa Raja Rusini, Raja Hussin Raja Kechik, 84, menganggap pemergian empat sekeluarga (dan bayi dalam kandungan) itu sebagai ujian daripada Allah yang menuntut kesabaran seluruh anggota keluarga.

“Cuma saya terkilan selepas diberitahu kereta Perdana V6 dari arah Kota Bharu dipandu terlalu laju sehingga menyebabkan saya kehilangan anak cucu tersayang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan beliau tidak menolak kemungkinan kereta Perdana V6 yang merempuh kereta Kancil keluarga malang terbabit dipandu laju.

“Saya menasihati orang ramai agar tidak memandu laju walaupun di jalan lurus kerana kebanyakan kemalangan maut berlaku di tempat sedemikian,” katanya.

Pemandu Perdana V6, Che Othman Che Hussin, 41, dari Pak Badol, Bachok juga menerima rawatan di HUSM.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi keluarga mangsa ketika keempat-empat jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gaal kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Sumber: Sinar Harian

0 comments: