Thursday, July 3, 2008

Pelabur China bawa pelaburan RM100 juta ke Kelantan

Biar pun Kelantan dan negeri-negeri Pakatan Rakyat cuba diketepikan dalam pelbagai bidang, namun ketelusan pentadbiran yang diamalkan menyebabkan pelabur tetap berminat datang ke sini.

Baru-baru ini pelabur dari China berminat melaksanakan projek menanam pokok neem, mengitar semula tayar buruk dan pemprosesan jerami padi untuk dijadikan makanan ternakan yang membabitkan kos sebanyak RM100 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Haji Che Abdullah Mat Nawi berkata, pelabur tetap berminat untuk melabur di negeri ini biarpun ada pihak mendakwa Kelantan ketinggalan.

Saya sungguh berbesar hati di atas keyakinan diberikan terutama rombongan pelabur dari negara China yang berminat untuk melabur sehingga melibatkan kos sebanyak RM100 juta di negeri ini.

Kerajaan negeri InsyaAllah akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan pelaburan dapat dilaksana di negeri ini,katanya ketika meraikan rombongan pelabur dari China di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Rombongan pelabur tersebut seramai enam orang melakukan lawatan sehari ke Kelantan dan berminat melabur di negeri ini dalam industri berkaitan pertanian.

Rombongan itu diketuai Timbalan Pengarah Sains, Teknologi dan Pembangunan Modal China, Xiong Yong Sheng.

Che Abdullah berkata, kerajaan Kelantan mengamalkan sikap mesra pelabur bagi menarik lebih ramai pelabur menanam modal di negeri ini.

Beliau juga berharap lawatan tersebut dapat merapatkan hubungan silaturrahim di antara China dan Kelantan.

Sementara itu, Xiong Yong Sheng mengalu-alukan lawatan pemimpin kerajaan Kelantan ke China sebagai kunjungan balas di atas kunjungan mereka ke sini.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw dan pegawai khas anggota Exco, Dr Rosli Allani Abdul Kadir yang boleh bercakap bahasa Mandarin. - mj

0 comments: