Kerajaan Kelantan bersetuju untuk mendaftarkan 20 sekolah agama bantuan (SAR) dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan bantuan perkapita diterima semula.
Ekoran itu satu perjanjian persefahaman (Mou) bagi mendaftar sekolah agama bantuan kerajaan negeri dengan Kementerian Pelajaran akan diadakan 20 Julai ini.
Majlis bersejarah itu bakal disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, majlis itu akan diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darulnaim.
Menurutnya MoU tersebut akan ditandatangani wakil daripada Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Kementerian Pelajaran.
Majlis berkenaan diadakan selepas dua syarat yang dikemukakan kerajaan negeri dipersetujui pihak kementerian iaitu pengurusan sekolah, guru dan murid diletak di bawah bidang kuasa Yik.
Begitu juga dari segi kurikulum dikekalkan tanpa ada sebarang pindaan, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Yik 2008 Kali Ke-30 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini. Perasmian disempurnakan Menteri Besar Kelantan.
Mohd Amar berkata, pada peringkat pertama sebanyak 20 sekolah Yik dipilih untuk didaftarkan.
Menurutnya kerajaan negeri akan melihat sejauh mana bentuk bantuan atau tumpuan yang diberikan kementerian kepada sekolah terbabit selepas pendaftaran dibuat.
Kita akan melihat sejauh mana bantuan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah yang didaftarkan sebelum pendaftaran sekolah-sekolah lain pula dibuat.
Kita mempunyai 66 sekolah agama bantuan kerajaan negeri yang bakal didaftar dengan kementerian secara berperingkat-peringkat sekiranya keadaan mengizinkan, ujarnya.
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan penerimaan kementerian mendaftar sekolah-sekolah agama bantuan di negeri ini.
Jadi saya nak ucapkan terima kasih kerana pihak kementerian menerima syarat-syarat ditetapkan kerajaan negeri dan Yik, ujarnya.
Ketika berucap sebelum itu beliau berharap guru-guru Yik memahami hasrat sebenar kerajaan negeri mendaftar sekolah agama bantuan di bawah kementerian.
Kata beliau pendaftaran itu bukan bermakna menyerahkan sekolah terbabit kepada kementerian sebagaimana difahami sesetengah pihak sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment