Sunday, July 13, 2008

Rakyat Kelantan tolak dakwaan liwat pusingan kedua

Liwat pusingan kedua, tidak masuk akal. Inilah kesimpulan mudah dibuat rakyat Kelantan terhadap tuduhan terbaru yang dilemparkan seorang pemuda terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah mereka menganggap bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23 menjadi mangsa konpirator yang diatur khas pihak tertentu yang mempunyai kuasa bagi memusnahkan karier politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pegawai Latihan dan Operasi Tabung Amanah Tok Kenali, Zuhairun Najah Mohamad berkata, tuduhan liwat ke atas Ketua Umum Parti KeADILan tidak lebih sebagai satu propaganda bagi melemahkan kerjasama Pakatan Rakyat.

Tuduhan liwat merupakan satu konspirasi politik bagi menyekat pengaruh dan kemaraan Anwar dengan harapan boleh melemah dan menggugat keyakinan rakyat terhadap beliau selaku pimpinan penting Pakatan Rakyat.

Apabila isu liwat menjadi kes polis maka akan berlaku proses siasatan yang berpanjangan dan sudah pasti akan menghalang Anwar mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya, katanya ketika ditemui di sini.

Saiful, seorang pemuda yang dikatakan gagal menerus pengajian di Uniten itu baru-baru ini membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar dan kali terakhir pada 26 Jun lalu di sebuah kondominium di Jalan Setia Kasih, Desa Damansara.

Zuhairun berkata, isu liwat tidak akan berjaya melemahkan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat kerana rakyat tahu ketika ini Umno dan Barisan Nasional (BN) cuba mencipta isu bagi menutup kelemahan mereka.

Beliau turut mempersoalkan mengapa isu yang lebih penting seperti rasuah, penyelewengan dana rakyat dan keluhan rakyat terhadap kenaikan harga minyak tidak mendapat liputan meluas media harian.

Seorang penulis, Drs Nik Azman Nik Mustafa menyifatkan isu liwat hanyalah cerita rekaan dan konspirasi politik bagi menjatuhkan kredibiliti Anwar yang disebut-sebut bakal Perdana Menteri.

Ia juga merupakan satu percubaan pihak kerajaan menyekat atau memperlahankan pengaruh politik Anwar yang nampaknya semakin mendapat tempat di kalangan rakyat.

Selain itu ia juga percubaan menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan Ketua Umum KeADILan memimpin Pakatan Rakyat, ujarnya.

Menurutnya juga dalam situasi sekarang BN dan Umno sedang terancam dengan isu yang dicipta sendiri.

Selain itu kata beliau usaha kerajaan mengalih tumpuan rakyat terhadap kegagalan mengawal kanaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.

Mereka ingin menyembunyikan ketidakupayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara dengan menimbulkan isu-isu sensasi seperti liwat, katanya.

Pegawai Urusetia Pembangunan Wanita Belia dan Sukan Kelantan, Mohd Rosli Abdul Samad berkata, kes terbaru liwat merupakan satu lagi percubaan menyekat pengaruh Pakatan Rakyat.

Kata beliau isu tersebut merupakan permainan politik terdesak pemimpin tertentu dalam Umno kerana bimbang hilang kuasa mentadbir negara.

Sebenarnya mereka ingin suasana sebagaimana krisis 1998 berulang bagi menghalang Anuar bertanding dalam pilihan raya dan sekaligus mematikan terus karier politiknya, ujar beliau.

Penolong Pengarah (Penerbitan) Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Haji Rosidi Semail berkata, isu liwat bertujuan menyekat kemaraan Anwar yang semakin hampir ke Putrajaya sekarang.

Menurutnya kalau tuduhan pertama pada 1998 rakyat tidak percaya apatah lagi tuduhan serupa diulang pula oleh individu tidak jelas latar belakangnya.

Silap percaturan akan mencetuskan kemarahan yang lebih besar di kalangan rakyat, lebih-lebih lagi krisis kenaikan harga minyak cukup membebankan mereka sekarang,katanya.

0 comments: