1. DEFINASI QAZAF:
Qazaf ialah melemparkan tuduhan zina kepada seseorang, dengan tuduhan secara langsung kepada orang yang berkaitan atau dengan cara menafikan anak.
Contoh tuduhan secara langsung kepada orang yang berkaitan, seperti kata seseorang kepada seseorang yang lain: “Wahai penzina.” Contoh tuduhan dengan cara menafikan anak ialah, seperti kata seseorang kepada seorang lelaki: “Anak yang isterimu kandung ini bukanlah anakmu.”
2. HUKUM QAZAF:
Apabila seseorang melakukan qazaf atau tuduhan zina tanpa mempunyai bukti yang sah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf iaitu sebat sebanyak 80 kali dan jika hamba sebanyak 40 kali. Hukuman ini jelas telah disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran:
“Dan orang-orang yang menuduh muhsanat (perempuan-perempuan yang saleh) berzina, tanpa empat orang saksi, maka jilidlah mereka lapan puluh kali. (Kemudian) tidak diterima kesaksian mereka selama-lamanya, mereka itulah orang-orang fasik. Kecuali mereka yang bertaubat sesudah itu dan mereka memperbaiki diri dan amal mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
3. LAFAZ QAZAF :
Terdapat tiga bentuk lafaz qazaf, iaitu:
i. Lafaz sarih, iaitu lafaz yang secara jelas membawa maksud zina, seperti: “Wahai, penzina.” atau “Aku telah melihat engkau berzina.”
ii. Lafaz kinayah, seperti: “Wahai fasik! Engkau tidak pernah menolak setiap tangan yang menyentuhmu.”
Jika ucapan seperti di atas itu didakwa bukan bermaksud menuduh zina, maka dakwaan tersebut boleh diterima dengan sumpah.
iii. Lafaz ta’ridh, iaitu berbentuk sidirian seperti: “Aku ini bukan penzina, dan orangtuaku juga bukan penzina.”
4. SYARAT-SYARAT QAZAF:
Menuduh seseorang berzina tanpa ada bukti perlu dihukum apabila memenuhi lapan syarat berikut ini:
1. Penuduh telah baligh
2. Penuduh berakal
3. Penuduh bukan ibubapa orang yang tertuduh
4. Tertuduh seorang muslim
5. Tertuduh telah baligh
6. Tertuduh berakal
7. Tertuduh merdeka
8. Tertuduh afifah, iaitu orang yang terpelihara kehormatannya serta menjauhi diri dari kemungkaran.
5. GUGUR HUKUM QAZAF
Hukum qazaf akan gugur dari penuduh zina apabila terdapat salah satu dari perkara-perkara di bawah ini, iaitu:
1. Penuduh dapat membuktikan kebenaran tuduhannya dengan empat orang saksi. Jika kurang, maka penuduh akan dikenakan hukum qazaf.
2. Tertuduh memaafkan penuduh, kerana hukuman qazaf adalah hak tertuduh.
3. Penuduh melakukan li’an sebagai ganti dari empat orang saksi dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu.
0 comments:
Post a Comment