TUMPAT - Seorang nelayan kerugian RM190,000 apabila dua bot miliknya musnah dalam kebakaran di Jeti Haji Yaakob, Kampung Geting di sini, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.
Nelayan tersebut, Azahari Yaakob, 41, berkata, kebakaran botnya berpunca daripada percikan api ketika awak-awaknya sedang membaiki enjin selepas mengisi minyak diesel dalam bot tersebut.
Katanya, ketika kejadian, dua pekerjanya berada dalam bot (jenis bot Zon B) itu dan apabila api merebak mereka keluar menyelamatkan diri serta menarik bot yang terbakar ke tengah laut.
“Kami berbuat demikian untuk mengelakkan ia merebak ke bot-bot lain kerana di pengkalan ini terdapat lima buah bot kesemuanya,” katanya.
Azahari berkata, api cepat merebak kerana dalam bot tersebut terdapat 1,200 liter diesel untuk digunakan apabila turun ke laut dan akibat kebakaran ini, ia turut merebak ke sebuah bot lagi yang bersaiz kecil, juga kepunyaannya.
“Dua pukat tunda saya juga terbakar bersama peralatan lain bernilai RM20,000, manakala dua buah bot tersebut dianggarkan bernilai RM170,000,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penjaga dan Penyelamat Bomba Pengkalan Kubor, Saipu Bhari Mohd Noor berkata, seramai 14 anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran tersebut.
“Kejadian itu dimaklumkan penduduk kampung kira-kira jam 10.30 malam. Pada awalnya kami diberitahu ada kenderaan yang terbakar, tetapi apabila disoal lebih lanjut, kami mendapati bot yang terbakar,” katanya.
Katanya, dengan kekuatan anggota bomba 14 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dan Tumpat, mengambil masa hampir setengah jam memadamkan kebakaran.
“Tiga bot yang lain dapat diselamatkan dan apabila anggota bomba sampai, mereka terpaksa menarik bot yang dihanyutkan ke tengah laut untuk memadamkannya, menggunakan semburan buih,” katanya.
Saipu Bhari berkata, ketika usaha memadamkan kebakaran, pihaknya bimbang bot tersebut meletup kerana ada tong gas di dalamnya.
Bagaimana pun, katanya, api dapat dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
Menurut Saipu Bhari, ini kejadian kedua selepas empat bot nelayan di Tok Bali terbakar Jumaat lalu.
“Saya nasihatkan awak-awak ketika pembaikan enjin, sentiasa memastikan alat pemadam api berada atas bot untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu di Pasir Puteh, mayat keempat mangsa empat bot kebakaran Jumaat lalu ditemui semalam.
Sunday, July 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment