KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak setuju penganjuran konsert sempena perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun anjuran Pakatan Rakyat untuk membantah kenaikan harga minyak di Stadium Kelana Jaya, Selangor Ahad lalu.
Beliau berpendapat pendekatan menganjurkan konsert kumpulan underground itu diadakan sebagai usaha menarik golongan muda menyertainya adalah pendekatan yang salah dan lari dari agenda sebenar.
“Saya sokong protes itu diadakan tetapi tidak dapat menyertainya kerana ada persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Perkara itu saya tak pernah terfikir boleh berlaku. Macam mana majlis protes buat program-program macam tu. Itu tak betul. Cara kerja tak betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Apa yang dikesalkan menurut Menteri Besar Kelantan itu ialah berlakunya insiden tumbuk dan membelasah antara penonton dan penyanyi kumpulan terbabit yang menunjukkan selingan konsert itu tidak bertepatan dengan agenda protes itu sendiri.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan langkah Unit Amal Pas meninggalkan lokasi perhimpunan itu diadakan kerana tidak setuju dengan acara nyanyian kumpulan terbabit yang menunjukkan punggung dan aksi liar ketika persembahan.
Ini kerana, katanya, mereka tidak seharusnya turut serta dalam acara konsert berkenaan kerana ia bertentangan dengan niat sebenar menyertai perhimpunan protes itu kerana Allah.
“Saya setuju pasukan unit amal tinggalkan tempat itu. Kita turun dari rumah sebab nak buat protes kerana lillahi taala tetapi tiba-tiba pergi sana orang lain pula tunjuk cara lain.
“Bukan cara protes tetapi cara nak seronok-seronok, saya kecewa dan tak pernah terfikir macam mana perkara itu boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz kepentingan solat lima waktu ibarat makan nasi kerana walau seteruk mana bekerja pasti seseorang itu akan menikmatinya kerana ia merupakan satu keperluan.
“Solat ni sepatutnya tak ada orang yang tinggal. Walau kita suntuk masa sekalipun solat tak boleh tinggal. Sembahyang ibarat makan nasi. Kalau kita kerja kuat sekalipun kita tak tinggal dari nak makan nasi, walau kena makan sambil berdiri.
“Sembahyang pun begitu juga, sebab itu dalam sembahyang walau Allah mewajibkan tapi masih ada ruang (kelonggaran) untuk manusia. Kalau tak boleh sembahyang berdiri, kita boleh duduk.
“Kalau tak boleh duduk kena tidur dan kalau tak boleh tidur juga maknanya matilah tu..,” katanya ketika diminta mengulas cadangan menjadikan kepatuhan solat lima waktu dan Jumaat sebagai kriteria utama sebelum diterima bekerja dalam kerajaan negeri.
Menurutnya, langkah itu akan dicuba dahulu dalam masyarakat di Kelantan sebelum dikemukakan usul kerana berdasarkan senario sekarang banyak pertentangan fahaman politik wujud tambahan pula banyak program di televisyen yang melalaikan manusia.
Sunday, July 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment